Saturday, 22 June 2013

Antara Jerebu dan Dukhan

Jerebu melanda Malaysia buat kesekian kalinya. Bukan pertama kali kita diuji ALlah dengan jerebu. Satu ketika dulu, di Malaysia Timur turut diisytiharkan darurat akibat jerebu. Di tempat kawan di Batu Pahat, alhamdulillah tidak ada jerebu yang melanda namun udaranya seakan-akan ada sisipan-sisipan jerebu yang terlepas ke sana. Kering, mata pedih, batuk-batuk, pun kawan ada terasa. Namun di Lembah Klang, teruk juga keadaannya. Sampai diisytiharkan darurat di Pelabuhan Klang. Memang kawan rasa patut juga diisytiharkan. Tengok di TV pun tak nampak apa, apatah lagi orang di sana yang merasainya. Maka berkurunglah penduduk lembah klang di rumah, ada juga yang pulang ke kampung halaman yang belum terkena jerebu lagi. Kawan pula, berkunjung ke lembah klang sebab nak menguruskan urusan permohonan visa, terbalik pulak. Alhamdulillah jerebu dah berkurangan, dah boleh nampak rumah seberang jalan.

Bagi kawan, hikmah jerebu dilandakan kepada kita ialah penggemar-penggemar maksiat yang sering berkeliaran di luar rumah, tersekat aktiviti mereka. Yang rajin bercouple, jalan-jalan tanpa arah tujuan, terpaksa postpone temu janji mereka. Yang mat rempit, mungkin asap jerebu tidak seharum asap motor, maka mereka pun tak keluar rumah. Yang suka berpeleseran sampai larut malam kat 'mapley' pun duduk di rumah tengok tv. Alhamdulillah, segala yang ALlah jadikan semuanya ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya, aktiviti-aktiviti tak berfaedah yang biasanya dijalankan di luar rumah sudah dikurangkan. Selamat satu perkara.

Apabila menyebut jerebu, mungkin tidak ramai yang terfikir akan adanya sebuah surah di dalam al-Quran yang bernama ad-Dukhan. Dukhan boleh bermaksud asap, contohnya kalau dilarang merokok tu dalam arab disebut mamnu' at-tadkhin dari kata dukhan (kan rokok itu berkepul-kepul asapnya). Dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa salah satu daripada tanda-tanda kiamat ialah terbitnya dukhan, ataupun boleh kita katakan jerebu/asap/kabus. Dipetik dari kata-kata sheikh s2s dalam mailing list alFikrah

"Jerebu adalah 10 tanda besar kiamat. alQur:an mmeperuntukkan satu
surah khas mengenai jerebu iaitu surah # 44. surah ini diberi nama
sempena ayatnya yg ke-10 " dan tunggulah hari ketika langit membawa
jerebu yg nyata."

Imam Muslim meriwayatkan dari Hudzaifah RA
" Kiamat tidak akan terjadi hingga kalian melihat 10 tanda. lalu
baginda menyebut antaranya jerebu. (Muslim, #2901)

Kata Imam Nawawi dalam syarhnya, jerebu yg menandakan Kiamat akan
berlansung selama 40 hari. ia membawa kesan selsema dan sesak nafas
kepada orang mukmin dan menimpakan musibah besar kepada kaum kuffar
dan haiwan. (syarh Muslim oleh Nawawi jld 18. "



Mungkin kita menisbahkan jerebu ini dengan kebakaran di Indonesia, dan mungkin jerebu yang kita hadapi sekarang bukan jerebu tanda kiamat. Tapi pastikah kita? Adakah kita hanya akan menunggu jerebu datang baru kita akan tersedar, atau masihkah kita terus dengan aktiviti kita yang tidak berfaedah tanpa menyiapkan diri sebelum datangnya kiamat? Mungkin kali ini bukan jerebu tapi kalau selepas ini, ada lagi jerebu, mungkin itu jerebunya. Persoalannya, perlukah kita dikejutkan baru kita tersedar dari lamunan? Bangkitlah sendiri dari sekarang, masa yang dijanjikan pasti akan tiba. Adakah kita sudah bersedia?


Friday, 21 June 2013

MUHASABAH  DIRI !

Saat mata jauh meratah langit
Fikiran melayang ke hadapan
Sampai bilakah hidup akan diteruskan begini
Adakah selamanya begini ?
Terus dengan keasyikan duniawi
Adakah diri tidak inginkan perubahan ?
Satu perubahan yang membawa kita lebih dekat dengan NYA
Hidayah tidak akan datang bergolek tanpa usaha

Carilah hidayah kerana hidayah itu berada di mana-mana sahaja


HATI DAN PERASAAN 
setiap insan yang dilahirkan di muka bumi ini pastinya mempunyai hati dan perasaan
Allah itu Maha Berkuasa mencipta kita dengan pelbagai perasaan
MasyaAllah !
Dikala hati ini  dilanda pelbagai perasaan (celaru)
Otak mula provokasi
Mulalah diri melakukan perkara bodoh
Ini bukan seperti yang islam ajar
Allah itu sayangkan kita
Kerna itulah kita diuji
Kerna dengan cara ini jugalah kita dapat merapatkan diri dengan Allah S.W.T
Dan jangan lah mengeluh pabila diuji
Sebaliknya bersyukurlah pabila diuji

Allah takkan uji kita diluar kemampuan sesesorang itu





Wednesday, 19 June 2013

KETIKA MAUT DATANG MENJEMPUT ~

Tika kita ralit menikmati keseronokan dunia
apakah pernah terlintas difikiran akan kematian ?
kawan kawan
pernahkah kalian terfikir akan saat dan keadaan kita ketika sakaratul maut menjelma 
adakah baik atau sebaliknya
nangu'zubillah
kematian tidak akan menunggu kita 
sebaliknya kita yang seharusnya bersedia untuk menghadapi kematian
kematian ini satu perkara yang pasti berlaku atas setiap makhluk Allah



Maksudnya:

193: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: 'Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,dan matilah kami bersama orang-orang yang berbakti;

194: "Wahai Tuhan Kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan jangalah Engkau hinakan kami pada hari Kiamat kelak; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".

Thursday, 6 June 2013

HUJJATUL ISLAM


Untuk menggalakkan pernikahan, Allah s.w.t telah berfirman:

“Dan kahwinkanlah orang bersendirian (belum kahwin) di antara kamu” (an-Nur: 32)

Ayat di atas menunjukkan suatu perintah ke atas orang yang belum pernah berkahwin supaya berkahwin.

FirmanNya yang lain:

“Maka janganlah kamu menghalang-halangi wanita-wanita untuk berkahwin semula dengan suami-suami mereka.” (al-Baqarah: 232)

Ayat yang tersebut di atas pula melarang untuk menghalang wanita-wanita yang diceraikan oleh suami-suami mereka untuk kembali berkahwin semula dengan mereka.

Kemudian Allah s.w.t. telah berfirman lagi dalam menghuraikan sifat-sifat para Rasul dan memuji sikap mereka:

Dan kami (Allah) sungguh-sungguh telah mengutus Rasul-rasul sebelum engkau dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (ar-Ra’ad: 38)

Allah s.w.t. telah menyebutkan yang demikian itu untuk menunjukkan tanda limpah kurniaNya serta melahirkan kelebihanNya. Kemudian Allah s.w.t juga memuji para waliNya dengan suatu permohonan dalam bentuk doa sebagaimana firmanNya:

“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah Kami dari isteri-isteri dan keturunan kami cahayamata kami.” (al-Furqan: 74)

Di antara Hadis pula, sabda Rasulullah s.a.w.:

Nikah itu adalah sunnatku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnatku, nescaya telah membenci aku.”

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tak mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika tidak dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Hadis ini juga menunjukkan sebab mengapa perkahwinan itu harus digalakkan kerana ditakuti berlaku perkara yang tak baik.

Bersabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak yang saleh mendoakannya.”

Anak tidak akan terhasil, melainkan dengan berkahwin.

Adapun yang mengenai atsar pula, maka telah berkata Ibnu Abbas r.a.: Tidak sempurna ibadat orang yang beribadat sehingga ia berkahwin. Mungkin sekali Ibnu Abbas telah menjadikan syarat berkahwin itu sebagai sebahagian dari ibadat atau sebagai menyempurnakan ibadat ataupun barangkali beliau bermaksud bahawa hati seseorang itu tidak dapat mengalahkan syahwat melainkan dengan berkahwin dan ibadat pula tidak akan sempurna melainkan dengan ketetapan dan ketenangan hati. Ibnu Abbas selalu mengumpulkan anak-anak buahnya bila mereka telah menginjak alam dewasa seraya berkata kepada mereka: Kamu sekalian telah dewasa. Kalau kamu sekalian ingin berkahwin, aku bersedia untuk mengahwinkan kamu. Sebab apabila seorang hamba itu berzina akan tercabutlah cahayan keimanan dari hatinya.

Adapun faedah-faedah perkahwinan ada lima iaitu:

(1)                                        Mendapat anak’
(2)                                        Mematahkan syahwat
(3)                                        Mentadbirkan rumahtangga
(4)                                        Membiakkan keluarga
(5)                                        Menggiatkan diri untuk memenuhi keperluan.


Hal-hal yang harus diperhatikan bila memilih jodoh.

Hal-hal baik harus diperhatikan untuk mencapai kehidupan yang tenteram yang berkaitan dengan persoalan wanita supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu akan tercapai ialah delapan perkara:

(1)                                        Agama
(2)                                        Kelakuan
(3)                                        Kecantikan
(4)                                        Ringan maskahwin
(5)                                        Boleh melahirkan anak (tidak mandul)
(6)                                        Perawan
(7)                                        Keturunan baik
(8)                                        Bukan keluarga yang dekat

Berikut keterangan lanjut mengenai perkara-perkara ini secara satu persatu:

Pertama: Hendaklah isteri itu seorang yang saleh dan berpegang teguh kepada agama. Inilah tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab sekiranya isteri itu lemah agamanya, bagaimana dapat ia memelihara diri dan maruahnya. Kalaulah berlaku sesuatu kecemaran yang menyentuh kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang, sedang hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, manakala kehidupannya ketika itu akan menjadi sempit. Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan cemburu itu, tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika dia mengambil sikap mempermudahkan tentang perkara yang berlaku, tentulah dia akan dituduh mengambil sikap enteng saja tentang agama dan maruahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus. Walhasil si suami akan berada dalam keadaan yang serba-salah sekali. Demikian pula sifat wanita yang rosak agamanya akan sering mempermain-mainkan harta benda suaminya atau sebagainya, sehingga hidup si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami terus mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, nescaya ia menjadi kongsi dalam maksiat dengan isterinya dan berarti menentang firman Allah Ta’ala.

“Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)

Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul pula pertengkaran sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat-sangat menggalakkan dan meransang supaya memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda bersabda:

Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya anda akan bernasib baik.”

Kedua: Baik budi pekertinya, sebab jika isteri itu banyak mulutnya, lidahnya suka menyebut kata-kata yang rendah, suka mengingkari nikmat, nescaya akan lahir daripadanya lebih banyak bahaya daripada manfaat. Kesabaran atas lidah kaum wanita seumpama ini adalah suatu cubaan yang biasanya dicubakan oleh Allah ke tasa para aulianya.

Ketiga: Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa. Apa yang kamu sebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah berarti melarang memilih yang cantik rupanya, bahkan yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan perkara agama. Sebab biasanya wanita yang cantik itu menarik orang kepada perkahwinan, sedangkan urusan keagamaannya sering diletakkan di belakang saja. Jadi anjuran untuk memilih isteri yang cantik itu untuk menjaga rumahtangga menjadi rukun dan damai. Malah syariat sering mementingkan supaya memerhatikan sebab-sebab kerukunan rumahtangga antara suami dan isteri, kerana itulah disunnatkan melihat bakal isteri sebelum berkahwin, sebagai mana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

Setengah para ahli wara’ tidak akan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka melainkan setelah dilihat oleh calon-calon suaminya untuk memelihara diri dari tuduhan menipu.

Berkata al-A’masy: Semua perkahwinan dijalankan tanpa diberi peluang kepada calon suami untuk melihat terlebih dulu akan berkesudahan dengan kesusahan dan kekesalan.

Pernah diriwayatkan, seorang lelaki berkahwin dalam zaman Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. Orang ini mengecat rambutnya yang beruban itu sehingga kelihatan sebagai seorang anak muda. Apabila ternyata perkara itu kemudiannya, keluarga si isteri pun mengadu kepada khalifah Umar, kata mereka: Kita menyangka ia seorang anak muda. Maka oleh Umar dipukulnya orang itu sehingga ia mengaduh. Khalifah berkata: Engkau telah menipu keluarga isterimu.

Penipuan serupa itu boleh berlaku pada perkara kecantikan dan budi pekerti. Maka sewajarnyalah dilenyapkan tipu daya dalam kecantikan itu dengan diberi tontonan terlebih dulu. Dalam akhlak dan budi pekerti pula, dapat diketahui dengan ditanyakan kepada orang lain ataupun dengan menyaksikan sendiri orangnya. Dan janganlah seseorang itu berani menceritakan kelakuan orang lain, melainkan ia memang benar-benar seorang bijaksana dan mengetahui selok-belok orang yang diceritakan itu secara lahir dan batin, tidak cenderung kepadanya lalu dipuji secara berlebih-lebihan, dan tidak pula membenci sehingga ia mencacinya dan mengatakan yang bukan-bukan. Sebenarnya memang sukar sekali ditemui seorang orang menikmati syarat-syarat ini, dan biasanya amat jarang pula seseorang itu dapat bercakap benar dalam perkara serupa ini, malaj kebohongan dan pengeliruan sering melanda suasana ini. Maka sayugialah bagi orang yang ingin menjaga diri, haruslah berhati-hati dalam perkara seumpama ini.

Keempat: Hendaklah maskahwin si isteri tidak memberatkan kerana memang dilarang oleh agama untuk memahal-mahalkan maskahwin. Setengah para sahabat berkahwin dengan maskahwinnya emas seberat biji kurma yang dianggarkan berharga tidak lebih dari dari lima dirham. Saib Ibnul-Musaiyab mengahwinkan puterinya kepada Abu Hurairaah r.a dengan maskahwinnya sebanyak dua dirham saja, kemudian dia pun menghantarkan puterinya itu kepada Abu Hurairah pada malam itu juga dan setelah diserahkannya di rumah Abu Hurairah lalu dia kembali, Said tidak kembali lagi ke rumah Abu Hurairah itu melainkan setelah berlalu tujuh hari untuk bertanyakan khabar saja.

Ada sebuah Hadis yang mengatakan bahawa antara keberkahan seorang wanita ialah melekaskan perkahwinannnya sehingga ia dapat melahirkan anak dan ringan pula maskahwinnya. Sebagaimana makruh hukumnya memahalkan maskahwin wanita ke atas lelaki, demikian pula makruh hukumnya bertanyakan harta kekayaan wanita oleh lelaki. Tidak sewajarnyalah bagi lelaki untuk menikahi seorang wanita, kerana tamak pada harta kekayaannya semata-mata. Jika lelaki memberikan hadiah kepada keluarga siwanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita dengan hadiah-hadiah yang lebih banyak lagi. Demikianlah pula halnya dengan pihak wanita, kerana niat menginginkan balasan adalah suatu niat yang tidak baik, dan termasuk ke dalam larangan maksud ayat berikut:

Janganlah engkau memberikan lantaran menginginkan balasan yang lebih banyak.” (al-Muddatstsir: 6)

Kelima: Hendaklah ia mengetahui, bahawasanya si wanita itu boleh melahirkan anak, kiranya diketahui kemandulannya, maka hendaklah ia menahan diri dari berkahwin dengannya.

Keenam: Hendaklah wanita itu seorang gadis. Berkata Rasulullah s.a.w. kepada Jabir yang baru menikahi seorang janda: “Mengapa tidak menikahi si gadis yang boleh engkau bergurau senda denganmu.”

Ketujuh: Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik putera-puterinya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya. Andaikata ia seorang yang tidak berpendidikan bagaimana ia dapat mendidik dan memelihara anak-anaknya. Dalam sebuah Hadis: “Pilih-pilihlah tempat meletakkan air mani kamu, kerana urat itu beradu.”

Kelapan: Hendaklah wanita itu bukan dari kerabat yang dekat, sebab yang demikian itu akan mengurangkan syahwat, sedangkan itu merupakan perkara utama yang menarik kepada wanita.

Wednesday, 5 June 2013

Israk  mikraj

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

 

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa )

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,

03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

 

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

 

07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.