Israk mikraj
Assalamualaikum, islam agama yang indah seindah ciptaan Yang Maha Esa . hidup ini akan ku serahkan sepenuhnya kepada NYA ~ LA TAHZAN INNALLAHA MA'ANA
Wednesday, 5 June 2013
Segala puji bagi Allah, Tuhan
sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga
ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal
27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa
Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum
Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa
Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan
Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan
kepada dua fasa.
Israk yakni perjalanan Nabi SAW
menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di
Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari
Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah
diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang
bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan
Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan
ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana
kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia
berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana
difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra
bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada
waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W
yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.
Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra
bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh
hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah
secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu
Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang
yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa
peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada
mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar
beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh
keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan
apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir
bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda
S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah
memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu
membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat
kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang
ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan
tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa
engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah
diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar
dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang
membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan
Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam
perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali
diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj
diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak
meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda
S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat
syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke
dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan
dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang
bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa
yang dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari
Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa )
Sepanjang perjalanan (Israk) itu
Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di
tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat
di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi
Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa
A.S. dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda
Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat
menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah
seperti berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan
terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru
keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad
"Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali
ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah
S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut
anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat
bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt
teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang
memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali,
lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya
menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau
seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan,
yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi
mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan
lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai
darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
07.Lelaki yang menghimpun seberkas
kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata
Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah
yang lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting
lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali
digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah
orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak
melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada
mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan
daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar
keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata
Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi
sudah terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang
yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata
Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya
umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di
tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak
menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai
ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga
menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran
umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah
turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang
dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu
dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih
susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika
arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke
Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang
indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama
lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah
S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s.
Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan
melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk.
Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan
Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa
A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit
ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga
langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga
langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya
Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga
langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S.
Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat
baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa
hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga
langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya.
Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan
berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu
dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman
syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi
Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu
mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima
kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR
dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang
membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa
lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang
(Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah
disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok
itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu
lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar
menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua
keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya
baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini
berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam
nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki
yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering
basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu
bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda
Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat
menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah
dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan
bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah
ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau
berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat
melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia,
syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia
dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada
umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik
umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku
kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa
sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu
perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam,
hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku
fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di
bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya
menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan,
mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap
kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang
lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit
dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan
pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu
dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa
Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu
berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan
Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap
kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran
di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi
perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan
pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan
kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada
kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan
Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu
mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk
dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak
dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi
sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu
merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah
Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti
kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati
kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu
ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat
bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa
(kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa
adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah.
Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam
ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan
Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu
saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai
Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh
saudara-saudara kita di Palestin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment